LAPORAN


LAPORAN MINGGU KOKURIKULUM
IPG KAMPUS PENDIDIKAN TEKNIK, KUALA LUMPUR

Tarikh : 26 Oktober 2009 – 30 Oktober 2009
Tempat : IPG Kampus Pendidikan Teknik, Kuala Lumpur

Pada 26 Oktober 2009 hingga 30 Oktober 2009, Unit Kokurikulum IPG Kampus Pendidikan Teknik telah mengadakan Minggu Kokurikulum peringkat institut. Minggu Kokurikulum ini telah dirasmikan pada 26 Oktober 2009 oleh Cik Hjh. Rosenah bt Mohd Noor, Timbalan Pengarah IPG Kampus Pendidikan Teknik serentak dalam majlis perhimpunan mingguan.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada warga institut baik daripada kalangan pensyarah, staf sokongan mahupun pelajar yang telah menyumbangkan tenaga, masa, dan bakti dalam menjayakan semua aktiviti kokurikulum yang telah dirancang. Selain itu, program yang julung-julung kali diadakan ini bertujuan memberi penghargaan kepada mereka yang telah mengharumkan nama institut sama ada di peringkat institut, zon sehinggalah ke peringkat antarabangsa. Bagi memeriahkan lagi Minggu Kokurikulum ini berbagai-bagai pertandingan dan aktiviti telah diadakan seperti Pertandingan Kawad Kaki, Masakan Ala Rimba, Karnival Permainan, Malam Seni Budaya dan kemuncaknya adalah pada Hari Jumaat, iaitu Hari Anugerah Cemerlang Kokurikulum 2009.

Semasa majlis perasmian dan perhimpunan mingguan, para pelajar telah diwajibkan berpakaian lengkap mengikut unit beruniform masing-masing dan beratur mengikut pasukan masing-masing. Pada petang itu, diadakan Pertandingan Kawad Kaki antara unit beruniform melibatkan pelajar Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) dan pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) semester 4. Walaupun cuaca panas terik, mereka tetap mempamerkan persembahan yang mantap dan penuh disiplin. Pasukan Pengakap telah dipilih sebagai Johan Pertandingan Kawad Kaki manakala pasukan Kadet Remaja Sekolah pula sebagai Naib Johan. Komandan Platun Terbaik pula ialah saudara Muhammad Shahrir bin Norkhir. Serentak dengan pertandingan kawad kaki, diadakan juga pertandingan Masakan Ala Rimba antara unit beruniform. Pemenang bagi pertandingan ini ialah pasukan Pengakap dan naib johan ialah Pergerakan Puteri Islam Malaysia.

Walaupun Minggu Kokurikulum berlangsung selama 5 hari, namun bahangnya sudah terasa lebih awal kerana permainan seperti bola sepak, badminton, sepak takraw, bola jaring, bola tampar, dan bola baling bermula lebih awal. Peringkat akhir bagi semua acara pertandingan ini telah diadakan pada hari Selasa. Bagi menjayakan kemuncak Karnival Permainan itu kesemua pelajar sama ada yang tinggal di asrama dan di luar asrama datang bagi memeriahkan dan memberi sokongan kepada rakan-mereka. Keputusan penuh permainan bagi semua acara yang telah dijalankan boleh dirujuk di Lampiran 1.

Pada hari Rabu, dua acara telah diadakan. Pada pukul 8:00 sehingga 10:00 pagi, diadakan raptai penuh Hari Anugerah Cemerlang yang diselia oleh En. Azemi bin Ismail sebagai penyelaras majlis. Semua aktiviti yang dirancang berjalan lancar manakala pada sebelah malam pula diadakan Malam Pementasan Seni Budaya. Majlis yang bermula sekitar pukul 8.15 malam itu disertai oleh semua pelajar PPISMP semester satu. Berdasarkan tema yang telah diberikan, iaitu Konsep 1 Malaysia, kesemua peserta telah memberikan persembahan yang menarik dan penuh kelainan.

Kemuncak Minggu Kokurikulum ini ialah Hari Anugerah Cemerlang Kokurikulum yang diadakan pada hari Jumaat. Majlis dimulai dengan ucapan En. Ghazali bin Ismail selaku Ketua Unit Kokurikulum. Sesi penyampaian hadiah pula dimulai dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang sempena Minggu Kokurikulum diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para peserta KAGUM dan SIPMA. Majlis turut dihiburkan dengan persembahan Tarian 1 Malaysia dari Persatuan Tarian yang telah menjadi johan Malam Pementasan Seni Budaya. Tidak terkecuali, kumpulan nasyid institut V-See yang berjaya menjadi naib johan peringkat kebangsaan IPG. Selepas persembahan, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah yang dibahagikan mengikut kategori Pingat Emas, Pingat Perak, dan Pingat Gangsa. Penganugerahan pingat ini adalah berdasarkan tahap penglibatan dan pencapaian pelajar.

Para pensyarah yang aktif dan telah memberikan sumbangan besar dalam kokurikulum juga tidak terkecuali. Mereka telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang Kepimpinan Kokurikulum. Tiga Anugerah Khas juga telah diberikan kepada Pasukan Ragbi, Pasukan Nasyid, dan kepada En. Mat Nuar bin Sharif. Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Cik Hjh. Rosenah bt Mohd Noor, Timbalan Pengarah IPG KPT. Majlis tamat pada pukul 12 tengahari.
Secara keseluruhannya, Minggu Kokurikulum ini telah berjaya mencapai matlamat dan objektifnya. Semoga Minggu Kokurikulum ini dapat diteruskan bagi tahun 2010 dengan pelbagai anugerah dan aktiviti yang dapat meniupkan semangat kepada warga IPG KPT.