PENGENALAN

Aktiviti Kokurikulum diyakini dapat membentuk dan mendidik individu agar menjadi warga yang mementingkan gaya hidup aktif dan sihat. Melaluinya dapat mengimbangi perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek murid-murid selaras dengan pertumbuhan fizikalnya. Mata pelajaran ini membolehkan guru pelatih mempelajari komponen pengurusan kokurikulum sekolah, Unit beruniform, Sukan dan Persatuan secara amali dan teori secara bersepadu dan juga menjadikannya sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Adalah menjadi hasrat Bahagian Pendidikan Guru agar pelaksanaan melalui pengalaman dan penglibatan secara total ini kelak dapat melahirkan guru-guru yang gigih, berpengetahuan dan berkemahiran dalam kurikulum dan kokurikulum. Disamping itu mata pelajaran ini diharapkan dapat mengembangkan minda, bakat dan potensi kepimpinan murid-murid secara menyeluruh, seimbang dan berterusan.


MATLAMAT
Pelaksanaan Kokurikulum bertujuan untuk menyediakan pelatih dalam pengurusan kokurikulum di sekolah dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai profesionalisme keguruan.


OBJEKTIF
Penglibatan dalam Kokurikulum adalah wajib bagi semua pelatih Institut Pendidikan Guru. Kelulusan dalam komponen ini merupakan syarat wajib untuk membolehkan pelatih mendapat Diploma Perguruan. Melalui aktiviti Kokurikulum, diharapkan pelatih akan dapat:


  • Memperolehi pengetahuan dan menguasai kemahiran dalam semua          aktiviti kokurikulum di sekolah (Unit Beruniform, Sukan dan Persatuan)
  • Menguasai aspek pengurusan dan kepimpinan untuk membolehkan pelatih merancang, mengurus dan melaksanakan semua aktiviti kokurikulum di sekolah
  • Membentuk sahsiah bersepadu melalui penghayatan nilai-nilai murni, amalan demokratis, berdisiplin, taat, bersikap positif, toleransi dan patriotisme.
  • Mewujudkan sifat kepimpinan dan membina daya pemikiran yang tajam, inovatif, kreatif dan daya tahan dalam menghadapi tugas; dan
  • Melahirkan dan mengembangkan bakat, potensi dan kepimpinan pelatih dalam kegiatan sosial, kebudayaan dan khidmat masyarakat yang boleh membantu usaha ke arah mencapai matlamat integrasi, perpaduan Negara dan masyarakat penyayang.